Thursday 19 January 2012

Teringin timang anak

DOKTOR, saya sudah lebih setahun berkahwin. Untuk makluman doktor, saya berumur 22 tahun dan suami 32 tahun.

Saya pernah mengalami keguguran pada Mei 2009 dan selepas keguguran, haid saya menjadi tidak tetap. Sehingga sekarang, saya masih belum ada tanda-tanda hamil. Saya teringin sekali menimang cahaya mata seperti orang lain.

Saya juga sudah mengambil asid folik sejak akhir tahun lalu dan sehingga sekarang, masih belum hamil lagi. Apakah ada kaedah lain bagi membantu saya untuk hamil?

Jawapan
PUAN, masalah puan yang sukar untuk hamil selepas keguguran pada bulan Mei 2009 ada kaitan dengan masalah ovari. Ini kerana haid puan mula tidak tetap setiap bulan.

Ini berpunca dari masalah ovulasi tidak menentu setiap bulan. Apa yang saya maksudkan ialah telur atau ovum tidak keluar setiap bulan. Seseorang yang mempunyai kitaran haid yang tetap setiap bulan mengalami ovulasi setiap bulan dan kebarangkalian untuk mengandung adalah tinggi.
Salah satu punca mengapa haid ini tidak teratur adalah masalah kenaikan berat badan yang banyak dan mempunyai body mass index yang tinggi. Jadi, saya syorkan puan mengurangkan berat badan ke tahap yang mana kitaran haid menjadi norma semula.

Ini adalah dalam lingkungan 10 peratus dari berat badan sekarang. Puan teruskan mengambil folik asid sementara waktu. Prosedur D&C yang dilakukan selepas keguguran boleh menyebabkan saluran fallopian tersumbat kerana jangkitan kuman.

Ini boleh diketahui dengan melakukan ujian histerosalpingogram di hospital. Jika puan tidak hamil juga, saya cadangkan puan berjumpa doktor pakar untuk membantu puan hamil

No comments:

Post a Comment