Friday 13 January 2012

Risau Ketulan Darah Selalu Keluar dari Faraj

(S)Gadis risau masalah Ketulan Darah Selalu Keluar dari Faraj berlanjutan sejak dua minggu lalu

Soalan: SAYA berumur 26 tahun dan belum berkahwin. Berat badan saya 50 kilogram dan tinggi 154 sentimeter. Masalah saya, ketulan darah selalu keluar dari faraj sejak dua minggu lalu. Bukan seperti darah cair malah pejal seperti darah haid. Saya keliru dan bimbang jika itu petanda masalah kesihatan yang serius kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Adakah ini yang dikatakan keputihan atau ketulan darah? Saya bertambah bimbang kerana bakal mendirikan rumah tangga bulan depan.
Julia

Jawapan: Assalamualaikum Julia. Saya berpendapat saudari tidak perlu khuatir sangat mengenai perkara ini. Memang benar semua wanita mahukan haid yang datang setiap 28 hari dan perdarahan berlaku paling lama pun adalah seminggu.

Tetapi, semua ini tidak akan berlaku secara tertib selagi kawalan haid berlaku secara biologi. Maksud saya di sini ialah kita mesti menerima hakikat bahawa haid akan menjadi tidak normal sekali sekala dalam kehidupan seseorang wanita itu.

Kitaran haid dikawal oleh kelenjar pituitari dan ovari yang masing-masing saling bekerjasama dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Contohnya tekanan, ubatan dan perubahan berat badan.

Masalah saudari pada pendapat saya bersifat sementara saja kerana ia akan kembali pulih secara semula jadi tanpa bantuan hormon atau ubat. Saya berani katakan begitu kerana perkara ini biasa dan saya tidak nampak apa masalahnya berdasarkan aspek seperti umur atau berat badan saudari.

Bagaimanapun, kalau keadaan seperti ini berlaku setiap bulan, berpanjangan atau mempunyai ketulan darah yang besar, saya berpendapat saudari perlu berjumpa doktor ginekologi (pakar perbidanan dan sakit puan).

Kebiasaannya kami menggunakan hormon seperti pil perancang untuk mengawal kitaran dan juga jumlah haid yang turun. Namun, bagi majoriti wanita seperti umur saudari, kami tidak dapat mencari punca kenapa haid mereka sebegini.

Kebanyakan masalah haid adalah daripada ovari dan bukannya rahim atau kelenjar pituitari. Ini disebabkan oleh telur yang mengalami gangguan ovulasi.

Apabila ovulasi tidak berlaku, maka dinding rahim akan menjadi tebal dan haid akan turun lambat. Tetapi apabila haid turun ia akan keluar dalam jumlah yang banyak. Kadangkala terjadi ketulan-ketulan darah apabila haid terlalu banyak.

Jarang sekali ia akan turun semula selepas haid habis. Semua ini biasanya bersifat sementara. Saudari tidak perlu bimbang kerana gangguan seperti ini tidak menghalang saudari berkahwin dan mengandung.

Jawapan disediakan oleh Dr Suhaimi Isa

1 comment: