Sunday 22 January 2012

Kakak ipar ramai seteru

SAYA berkahwin hampir dua tahun. Suami saya rapat dengan keluarganya. Dia ada dua kakak dan adik lelaki. Namun begitu, kakak sulungnya tidak menyukai suami saya, apa sebabnya suami pun tidak tahu. Ketika kami baru kahwin, dia tidak menegur kami lebih setahun dan kami tersinggung dengan perbuatannya.

Dia begitu sombong dengan saya. Saya tidak tahu mengapa dia berkelakuan sedemikian. Mujurlah mak mentua saya memujuk saya dengan mengatakan itu memang sikap kakak ipar saya. Apabila saya cuba berbual dengannya, dia berdiam dan tidak langsung memandang wajah saya.

Baru-baru ini, dia menceburi perniagaan kecil-kecilan di rumah, saya ikhlas membantu dia berniaga dengan harapan kami dapat berbaik semula.

Sangkaan saya meleset kerana sebaik selesai urusan niaga dia kembali dengan perangai lama.


Untuk pengetahuan Dang Setia, keluarga besar dia sendiri seperti ibu mahupun bapa saudara tidak suka perangai buruknya. Saya malas hendak melayan perangai dia yang sombong, berlagak, suka marah-marah dan cakap lepas tanpa mengira usia.


Kebanyakan sepupu dia juga tak suka dengan dia. Dia selalu berselisih faham dengan ibunya. Dia rapat dengan adik perempuannya saja. Sedangkan dia sudah mempunyai anak dan seharusnya dia memahami perasaan orang sekitarnya.

ZARINA
Presint 14, Putrajaya



Satu kata hikmah mengungkap, ‘Orang yang kerap merendah diri tidak semestinya bermaksud bodoh tetapi orang riak tidak selalunya bijak’.

Merujuk kata hikmah berkenaan, sikap kakak ipar yang riak dan sombong sebenarnya mencerminkan dia tidak cukup matang dan kurang bijak apabila membabitkan soal hubungan dengan orang lain.

Gemar memberi riak wajah tidak menyenangkan serta kerap memarahi orang lain dengan gelaran tidak baik membina jurang antara dirinya dengan mereka yang menyayanginya waima ibu sendiri.

Tindakan saudari cuba membantunya berniaga boleh dikatakan langkah baik dalam usaha memulihkan hubungan saudari dengannya. Kadangkala, saudari perlu merendah diri serta banyak bersabar dengan kerenahnya.

Cubalah bertanya khabar dan menyapa meskipun menyedari dirinya tidak melayani saudari.

Maniskan muka setiap kali menemuinya walaupun ia membuatkan saudari malu sendiri kerana tidak menerima respon yang positif, tetapi ia boleh menunjukkan saudari memang ikhlas berbaik dengannya.

Selain itu, cuba luahkan perasaan kecewa serta sedih dengan orang yang dia rapat seperti saudara perempuannya. Diharap daripada luahan itu, saudari dapat mengenal pasti punca dia tidak menyenangi saudari serta suami.

Pada masa sama, minta saudara yang rapat supaya menasihati kakak ipar untuk tidak berterusan bersikap demikian bagi mengelak individu yang sepatutnya rapat seperti keluarga tidak menjadi benci pada dirinya.

Selain itu, jangan pula saudari melancarkan perang dingin kerana meluat dengan perangainya. Lebih baik ambil langkah berdiam diri serta berdoa supaya Allah SWT dapat melembutkan hatinya.

1 comment:

  1. Susah kita nak suka orang riak berlagak ni, makin menyampah ada la

    ReplyDelete