Sunday 22 January 2012

Gadis Dilema Suami Orang suka Dekat Dia

SAYA berumur 22 tahun dan kini di tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam. Masalah saya ialah saya bercinta dengan suami orang. Saya mengenali Z ketika menjalani latihan amali di sebuah jabatan.

Dia hanya pekerja biasa berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Sebaik saya menjalani latihan, layanan diterima sama seperti rakan lain.

Namun sejak habis praktikal, dia kerap menghubungi dan berterus-terang mengatakan dia menyukai saya sejak memulakan latihan amali lagi.

Saya sedia maklum dia beristeri, bahkan kadangkala saya mengubah topik untuk bercerita mengenai keluarganya.


Dia kerap meluahkan kepada saya yang dia tidak pernah merasai kemanisan berumah tangga bersama isterinya. Berkali-kali dia menyatakan perkara sama.


Dia juga meluahkan kepada saya yang dia kesal dengan perkahwinan terburu-buru hinggakan tiada langsung perasaan cinta pada isteri.

Saya menasihati dia untuk kembali kepada isterinya, tetapi dia tetap berkeras mahukan saya. Saya kini buntu memikirkannya. Malah setiap kali usai solat, saya sering berdoa supaya Allah memberi kemanisan berumah tangga kepada pasangan ini.

ZAZA
Batu Berendam, Melaka




Memberi maklum balas serta menjadi pendengar baik kepada teman tidak menjadi kesalahan. Namun berbeza dengan situasi dialami sekarang, di mana adik menjadi tempat meluahkan perasaan oleh lelaki berstatus suami yang menyimpan perasaan terhadap adik.

Usaha adik menyatukan lelaki itu kembali kepada pasangannya menerusi nasihat tidak dinafikan ada niat baik. Namun jika berhubung dalam tempoh berpanjangan, ia dilihat tidak wajar kerana dibimbangi boleh mempengaruhi perasaan adik.

Hati wanita sebenarnya lembut dan sering diibaratkan seperti kerak nasi yang bisa alah sebaik direndam air. Ia bermaksud adik turut tidak terkecuali untuk mudah terdorong menerima lelaki yang gemar memujuk rayu.

Dang Setia berasa lebih baik adik mengambil langkah berdiam diri supaya tidak terjerumus lebih jauh dalam hubungan tiga segi. Mulakan dengan tindakan mengelak menerima panggilan dan melayani SMS daripadanya.

Ini kerana hanya bermula dengan mendengar masalah dirinya, adik akan berasa lebih simpati dan akhirnya menyediakan ruang luas untuk dia mendekati diri adik.

Tambahan pula, melihat kesanggupan adik mendengar masalahnya cukup menyatakan adik punya jiwa ampuh serta bakal berdepan masalah seandainya terus melayani panggilannya.

Sebagaimana peribahasa orang lama tepuk sebelah takkan berbunyi, begitu peranan perlu dimainkan supaya dia berputus asa dengan adik.

No comments:

Post a Comment